Wednesday, October 29, 2008
Malaysian Chopper...
Banyak orang sudah mengeluarkan pendapat tentang isu pembelian Eurocopter. Tidak kira di mana saja, sama ada di kedai mamak sambil minum kopi, mahupun di pejabat-pejabat tinggi di KLCC. Semua orang ada pendapat masing-masing. Ada yang kata itu, ada yang kata ini. Dunia blogosfera Malaysia pun tidak terkecuali. Rata-ratanya, ianya suatu isu panas dan tidak salah jika saya mengatakan yang kebanyakan rakyat mengatakan yang penangguhan pembelian tersebut adalah sesuatu yang wajar, jika ia diletak di dalam konteks ekonomi sekarang. (Aku tak mahu sentuh tentang bab politik. Itu satu topik besar yang lain. Mungkin di posting yang akan datang.)
Tetapi, aku jarang pula mendengar pendapat mereka-mereka yang akan menggunakan helikopter tersebut. Pendapat tentera-tentera kita. Pendapat juruterbang-juruterbang tentera yang terpaksa menggadai nyawa setiap kali helikopter lapuk Nuri terpaksa di gunakan. Agaknya, apa yang mereka fikirkan?
Mungkin mereka sudah lama mengeluh. Agaknya, mereka bertanya, mengapa helikopter Nuri yang telah usang ini masih digunakan untuk tugas-tugas mempertahankan negara. Aku pun tak tahu. Aku mahu bertanya tetapi malangnya, aku tak ada kenalan yang sedang berkhidmat di dalam Angkatan Tentera. Jadi, kesimpulan itu, aku main agak saja. Mungkin betul, mungkin tidak.
Tetapi, kalau nak di fikirkan, selagi pembelian helikopter-helikopter baru ini ditangguh, yang akan menanggung risiko paling tinggi adalah mereka-mereka yang menjadi tunggak pertahanan negara. Pemuda dan pemudi kita yang sanggup berkhidmat untuk menjaga keselamatan negara.
Merekalah yang akan menggadaikan NYAWA mereka setiap kali helikopter lapuk Nuri masih di gunakan.
Siapa yang akan menangis apabila satu lagi helikopter lapuk itu jatuh dari langit? Siapa yang akan mendoakan mereka? Siapa yang akan mengingati mereka?
Sebab itu lah, aku berpendapat yang sesiapa sahaja yang SENGAJA melambatkan proses pembelian ini, sama ada dengan tujuan untuk meraih keuntungan yang lebih, mahupun untuk mendapatkan sokongan politik, untuk APA-APA sahaja sebab, mereka lah akan menanggung beban NYAWA pemuda dan pemudi negara yang berkhidmat sebagai askar-askar negara. Setiap kali enjin Nuri yang usang itu di hidupkan, setiap kali itu lah nyawa tentera kita di pertaruh!
Aku tak peduli kisah korupsi!
Aku tak peduli kisah ekonomi!
Aku mungkin salah di dalam merumus pendapat aku. Aku mungkin keseorangan di dalam hal ini. Tetapi aku tidak peduli...
Sudah sampai masanya kita, sebagai rakyat negara ini, mengingati kembali sumbangan tentera-tentera kita untuk menjaga keamanan negara. Mereka-mereka inilah yang akan berdepan dengan musuh kita, mereka-mereka inilah yang akan menggadaikan nyawa mereka untuk KITA!
Jangan sia-siakan KHIDMAT dan NYAWA mereka!
Berilah mereka kelengkapan-kelengkapan yang terbaik supaya mereka boleh melaksanakan tugas mereka. Kalau tak mampu beli 20 biji, beli 10 biji dulu. Kalau tak mampu beli 10 biji, beli 5 biji dulu.
Mereka semua tidak meminta banyak dari kita. Mereka tidak mahu pingat. Mereka tak mahu darjat.
Yang hanya mereka mahu ialah supaya kita mengingati sumbangan mereka. Janganlah di sebabkan masalah politik atau ekonomi, nyawa mereka di sia-siakan begitu sahaja.
Susah sangat ke nak buat itu?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment