Untuk Edisi "Apa Hisham Kata..." kali ini, aku ingin korang baca posting di bawah. Artikel ini sebenarnya adalah satu post dari blog yang tersohor 'Tukar Tiub' yang dikendalikan oleh Hishamudin Rais. Sekiranya anda ingin melihat post tersebut di blog itu, klik di sini.
Aku harap Abang Hisham tak marah kat aku kerana mengambil keseluruhan entri beliau. Aku tidak berniat untuk memplagiat hasil usaha intelek beliau. Aku berbuat demikian kerana sebagai seorang 'Mat Rempit' yang tipikal, aku dah terlalu bosan dan marah akan stereotype yang selalu di gembar-gemburkan di media dan melalui post ini, aku harap korang dapat tengok dan rasa pandangan dan pendapat kami, si Mat Rempit.
SEKALI LAGI MAT REMPIT
Sesiapa yang tinggal dalam kota Kuala Lumpur sila pergi dan lihat wilayah Pantai Dalam. Lihat dan saksikan bom jangka yang sedang terpasang. Rumah rumah sempit. Keluarga besar. Hidup berhimpit-himpit. Padat dengan masalah sosial. Inilah ghetto dan inilah slum moden yang wujud di sekitar kota kita.
Persoalan timbul: Kenapa ketika rumah mereka didirikan tidak dibuat untuk keselesaan. Kenapa tidak dibuat tiga atau empat bilik, ada balcony dan ada taman rehat. Ada keselesaan untuk hidup. Kenapa orang miskin ini terus dimiskinkan. Kenapa ini lakukan ini terhadap orang miskin. Apakah nilai hidup mereka rendah sekali maka mereka dikandangkan seperti babi.
Perhatikan diwaktu malam kereta dan motosikal mereka beratur berlapis-lapis. Mereka tidak ada pilihan – wajib memiliki kereta atau motosikal untuk pergi menjual dan memburuh. Ini sengaja dirancang sebagai satu dasar untuk menggalakan pembelian kereta dan motosikal.
Sistem pengangkutan awam yang satu ketika dahulu agak tersusun telah dilupus. Kota Kuala Lumpur yang dahulunya cukup baik disambung oleh Seri Jaya tidak wujud lagi. Bas dua tingkat yang bergerak di Kuala Lumpur pada satu ketika dahulu kini hanya untuk pelancung. Sistem pengangkutan awam dianak tirikan untuk menyokong industri kereta.
Penduduk miskin kota ini tidak mungkin dapat memutuskan diri mereka dari jeratan lingkaran setan. Dari sinilah datangnya anak anak muda yang merempit ke hulu ke hilir. Dimana mereka hendak duduk. Rumah sempit. Hendak mengulang pelajaran tidak mungkin. Adik mahu menonton tv. Kakak telah mula mendewasa dan susunya telah membesar. Taman rekreasi tidak ada. Taman bola tidak ada. Dewan anak muda tidak ada. Nak bermain futsal – wajib membayar – semua milik towkay.
Bayangkan emak dan ayah nak mengentot pun susah sekali. Tidak mungkin kasih sayang akan muncul dari satu keluarga seperti ini. Tidak mungkin akan muncul Ibu Mitahli dari kawasan ini. Graduan- graduan dari kawasan-kawasan ini hanya akan berjaya melahirkan pencopet, tokan ganja, kaki pau – nasib-nasib baik akan muncul Mat Rempit dan peniaga warong.
Kurang kawasan untuk dijadikan tempat rehat dan taman permainan?
Di sebelah stesen bas Pudu Raya dahulunya ialah padang yang maha luas. Lake Garden dahulunya ialah taman indah dan dirosakkan dengan jalan-jalan untuk kereta. Hutan simpan Bukit Ceylon di musnahkan untuk bangunan. Penarahan kawasan ini masih belum selesai. Di hadapan Stadium Negara dan Stadium Merdeka dahulunya ialah taman dan padang yang indah – sekarang tempat kepala bana letak kereta.
Jangan lupa – di Kuala Lumpur ada berselirat padang golf. Di kawasan-kawasan mewah ada pula taman-taman bunga. Ada padang tempat rehat. Kenapa yang kaya tahu berehat dan yang miskin di kulibatakkan. Apakah mereka yang duduk di kampong Kerinchi tidak tahu berehat. Tidak memerlukan ketenangan.
Bila kita melihat anak muda yang sedang merempit cuba berfikir jauh. Jangan hanya hendak mengutuk. Cuba selidiki dan tanya dari mana mereka ini. Apakah ada keselesaan dalam rumah mereka. Apakah ada kesempurnaan dalam persekitaran hidup mereka.
Lihat dan sedarlah – kebanyakkan mereka ini memburuh – di kedai dan gedung-gedung yang dimiliki oleh pemodal antarabangsa. Mat Rempit inilah yang menjadi kuli batak di Tesco, Seven Eleven, di Giant, StarBuck, MacDogal. Merekalah yang memburuh dipelbagai retaurant dan cafĂ© yang dimiliki oleh syarikat pemodal antarabangsa.
Apakah betul kerajaan ada keinginan untuk memperbaiki hidup mereka?
Jika jujur dan berniat baik maka : Susun dan tubuhkan kesatuan pekerja di semua pasar raya. Tubuhkan kesatuan sekerja untuk semua pekerja di Seven Eleven, di Giant, di Tesco , di MacDogal, di Burger King, di warong-warong Rehat Lebuh Raya Utara Selatan. Pastikan mereka yang memburuh ini bukan hanya menjadi kuli batak untuk pemodal antarabangsa. Pastikan anak anak muda yang merempit ini dibayar selumayan mungkin. Pastikan mereka tidak ditindas dengan gaji yang kecil. Wujudkan gaji minama untuk seluruh buruh pekerja.
Ini baru langkah tepat yang mendahulukan warga. Bukan mendahulukan keuntungan untuk pemodal.
Jangan hanya pandai menghina anak anak muda yang merempit sebagai wabak. Mereka bukan penyakit. Mereka adalah sebahagian dari kita. Mereka adalah anak semua bangsa. Jangan hanya pandai mengutuk dan menangkap. (TT)
Post asal dari Tukar Tiub (http://tukartiub.blogspot.com/)
13 Mei 2009
Posting original boleh didapati di (http://tukartiub.blogspot.com/2009/05/mat-rempit-sekali-lagi.html)
P.S - Pada hari yang sama juga, Abang Hisham ada membuat satu lagi post yang ada kena mengena dengan topik yang sama. Klik di sini untuk baca post itu.
No comments:
Post a Comment