Wednesday, October 22, 2008

Konflik Diri 2...

Kapitalisme atau sosialisme?

Aku tengah berfikir, yang mana satu sistem yang terbaik. Kedua-dua nya ada baik dan buruk. Tetapi, sejak kebelakangan ni, aku seolah telah mendapat satu 'epiphany'. Ianya tidak datang secara mengejut, tetapi secara perlahan. Semasa aku sedang menunggang motor aku, semasa aku sedang memandu boss aku, semasa aku sedang menunggu.

Aku rasa, kelemahan bukan nya pada kedua-dua sistem itu sendiri, tetapi pada pengamal sistem-sistem tersebut.

Yang lemah bukan sistem. Yang lemah itu kita. Manusia.

Sifat tamak dan haloba akan menggagalkan kapitalisme. (Tanya Adik-Beradik Lehman kalau tak percaya.)
Pencarian tanpa henti keuntungan maksima tanpa menghiraukan mereka-mereka yang tercicir di dalam arus pembangunan akan menggagalkan kapitalisme.
Tangan Halimunan akan membantu ramai di antara kita tetapi bukan semua.
Tangan Halimunan tidak akan menolong mereka yang lemah, yang miskin, yang berkelas rendah, yang tidak bermodal.
Jangan lupa, kepentingan diri adalah satu dorongan yang amat kuat di dalam hati manusia.
Apabila keuntungan besar terbujur di atas meja, siapa di antara kita yang sanggup memeluk tubuh, buat tak tahu?
Apa yang kamu buat sekiranya peluang tersebut terbuka kepada kamu?

Yang lemah bukan sistem. Yang lemah itu kita. Manusia.

Pada hakikatnya, kapitalisme tidak menggalakkan penanaman modal di dalam aktiviti yang tidak menguntungkan. Tidak ada sistem di dalam kapitalisme yang boleh digunakan untuk membantu golongan miskin. Mereka hanya boleh di bantu hanya melalui 'campur tangan' kerajaan yang memerintah (cara yang tidak digemari oleh sistem kapitalisme) ataupun melalui sifat 'filantropik' pemegang-pemegang modal yang besar. Dalam kapitalisme, orang miskin hanyalah sumber pekerja yang murah dan mudah diperalat.

Dalam sosialisme pula, sifat angkuh dan korupsi para pemimpin dan wakil-wakil kerajaan akan menggagalkan sosialisme.
Sifat angkuh pegawai dan pemimpin kerajaan adalah tanah yang subur untuk menyemai korupsi.
Undang-undang ketat tidak akan menghalang korupsi.
Sifat tamak manusia akan muncul kembali.
Jangan lupa, kepentingan diri adalah satu dorongan yang amat kuat di dalam hati manusia.
Mereka yang memegang kuasa akan memastikan kuasa mereka tidak akan hilang.
Pagawai berpangkat rendah, 'bakshish' nya rendah. Pemimpin yang tinggi, 'bakshish' nya tinggi.
Apabila semuanya 'bisa di atur', masyarakat yang rugi.
Suara-suara yang 'sumbang' akan disenyapkan.
Penentang-penentang sistem akan di'hilangkan'.

Yang lemah bukan sistem. Yang lemah itu kita. Manusia.

Secara teorinya, kapitalisme menggalak kan inovasi, kecekapan dan penjimatan.
Secara teorinya, sosialisme memelihara hak, maruah dan kepentingan semua.
Secara teorinya...

Tetapi...

Berapa ramai di antara kita yang akan menolak peluang untuk mendapatkan keuntungan segera?
Siapa di antara kita yang boleh berkata nilai moral ku tinggi dan kuat?
Siapa di antara kita yang mampu menolak wang dan kuasa sekiranya ia terhidang sedia di depan mata?

Yang lemah bukan sistem. Yang lemah itu kita. Manusia.

4 comments:

Anonymous said...

ulasan teater operasi oktober dan revolusi 48 bole bacer kat:

http://diskopi.wordpress.com

blog budak-budak local U. macam-macam yang kami tulis. dari yang lepak, santai sampailah yang serius giler. ader banyak debat-debat menarik. debat kapitalisme/sosialisme jugak ader kat beberapa artikel yang lepas.

nak dengar lagu/muzik rayer pon ader.

ditulis dalam trilingual - bm, bi dan jugak manglish. hehehe. jemput le melawat. kalo suker blog kami, kasi tahu member-member lain.

timer kaseh.

Johnny B. Rempit said...

Terima kasih, wahai Diskopi yang baik hati. Saya berjanji akan melawat blog itu, dalam masa terdekat.

Anonymous said...

cucu pasti yang sifat tamak dan haloba akan menggagalkan kapitalisme?. Sepertimana yang saya tahu, sifat tamak adalah asas kepada sistem kapitalisme. Profit, profit and more profit. then Profit maximization, more profit maximizations, and much more profit maximizations, consume, consume more, and keep on comsuming more and more, cos the kapitalist will continue to produce and produce beyond the needs of the people.

Johnny B. Rempit said...

Saya setuju yang sifat tamak yang melampau di dalam kapitalisme itu sendiri yang akan menggagalkan sistem tersebut. Tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan yang sistem itu juga ada membawa banyak faedah kepada manusia sejagat. Hakikat yang kita sekarang sedang berkomunikasi melalui internet adalah salah satu kemajuan yang di bawa oleh sistem itu.

Tetapi, bukan semua idea di dalam kapitalisme betul tetapi pada masa yang sama, bukan semua idea di dalam sosialisme betul. Dan saya juga tidak mahu menghadkan kesimpulan ini kepada dua sistem ini sahaja tetapi kepada banyak lagi sistem-sistem pengurusan masyarakat yang pernah di guna pakai. Oleh itu, saya telah membuat kesimpulan yang kelemahan bukannya pada sistem tetapi kepada pengamal sistem. KITA!

Saya masih berpendapat yang secara teorinya, apa-apa sistem yang digubal oleh minda manusia adalah 'sempurna', SEHINGGALAH ianya di guna pakai. Pada masa itu lah sistem tersebut akan berdepan dengan sifat manusia yang lemah, seperti sifat tamak, gila kuasa dan sebagainya.

Yang lemah bukan sistem. Yang lemah kita. Manusia.